Oleh Ahmad Sufyan Che Abdullah
Utusan Malaysia, 24 Julai 2003
Otak manusia yang terkandung di dalamnya berbillion neoron itu adalah satu ciptaan yang sangat ajaib. Otak manusia, bukan seumpama bekas pada dunia dimensi ketiga; makin diisi makin penuh, tapi ia adalah ciptaan yang sangat luar biasa; makin diisi makin bertambah ruangnya! Otak dicipta sebegitu rupa, dengan dua hemisfera kanan dan kiri dengan peranan yang berbeza. Ia terletak di atas, tidak di tengah atau di bawah menunjukkan betapa pentingnya otak untuk dieksploitasi. Itulah otak yang berperanan sebagai akal untuk berfikir, menaakul, menganalisis, melakukan komparatif, dan menginterpretasi setiap maklumat yang diterima daripada pancaindera; mata yang melihat dan membaca, telinga yang mendengar, hidung yang mencium, mulut yang merasa, kulit yang menyentuh. Allah menciptakan manusia. Allah menganugerahkan akal dengan kebolehan dan fungsinya untuk berfikir dan memahami.