iDeologi.my
Facebook
School World
RSS Feeds

Login

Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

Sedang Online

2 user(s) are online (1 user(s) are browsing Artikel)

Members: 0
Guests: 2

more...
Article ID : 21
Audience : Default
Version 1.00.03
Published Date: 2012/11/26 22:58:29
Reads : 3727

Kewangan dan Ekonomi

Artikel terdahulu saya umpamakan sistem pasaran Islam atau prinsip pemasaran Islam ibarat pesawat canggih zaman moden yang menggunakan sistem auto-pilot. Dalam sistem ini, juruterbang cuma memantau sahaja pergerakan pesawat yang telah ditetapkan. Sama dengan sistem pasaran dan pemasaran. Ini kerana Islam membina satu sistem pasaran dan pemasaran dengan undang-undang dan etika yang terperinci, lantas membiarkan pasaran bergerak sendiri dengan kawalan yang minimum daripada kerajaan. Dengan tidak menafikan pentingnya pemantauan daripada kerajaan, namun, pada dasarnya kerajaan tidak digalakkan untuk campur tangan dalam pergerakan pasaran atau kawalan yang melampuan terhadap strategi pemasaran.


Kerajaan Tidak Digalakkan Mengawal Harga

Salah satu bukti bahawa Islam tidak terlalu mengongkong pasaran adalah sistem harga dalam Islam. Hampir keseluruhan sarjana fekah dalam semua mazhab bersetuju bahawa Islam melarang kerajaan untuk mengawal pergerakan harga dalam pasaran, kecuali hanya apabila keadaan sangat memerlukan. Dalam sebuah hadis, Anas bin Malik r.a menceritakan bahawa harga barang pernah naik pada zaman Rasulullah s.a.w lalu masyarakat berkata, "Wahai Rasulallah, Tolonglah tetapkan harga kepada kami", Lalu Rasulullah s.a.w menjawab, "Sesungguhnya Allah yang Maha Menetapkan Harga (dengan menentukan naik turun barangan), Maha Menarik Balik rezeki, Maha Mempermudah (rezeki) dan yang Maha Memberi Rezeki, Dan sesungguhnya aku amat mengharapkan Tuhanku menentukannya, dan aku berharap tidak ada seorangpun di kalangan kamu yang boleh menuntut apa-apa dariku (di akhirat) atas sebab berlakunya kezaliman, sama ada terhadap darah, mahupun harta. [al-Termidhi, Abu Dawud, Ibn Majah, Ibn Hibban]

Berasaskan hadis ini, para sarjana menyifatkan larangan Nabi terhadap kerajaan daripada campur tangan dalam urusan harga barangan, kecuali dalam keadaan tertentu yang memerlukan campur tangan. Campur tangan cuma jika wujudnya unsur manipulasi pasaran, eksploitasi peniaga, atau pun pemborong terhadap pihak yang lemah dan seumpamanya. Dalam keadaan kenaikan harga barangan akibat fitrah pasaran seperti kelebihan permintaan, kenaikan salah satu daripada raintaian harga barangan, dan seumpamanya, kerajaan tidak perlu campur tangan, kecuali jika harga melampau dan menjejaskan kemaslahatan masyarakat terbanyak.

Kebebasan dalam meletakkan harga dalam pasaran adalah bukti yang paling jelas menunjukkan bahawa Islam tidak mengawal pasaran, kerana bagi sesuatu barangan, hargalah yang memainkan peranan penting dalam menarik atau menolak pembeli. Harga yang rendah boleh menarik minat pembeli berpendapatan sederhana, harga yang tinggi menarik minat pembeli elit dan berpendapatan tinggi. Islam membiarkan pasaran yang menentukan harga bagi sesuatu harga, selagi mana tidak ada penyelewengan dan tidak melanggar prinsip-prinsip yang utama.

Bebas Bersyarat Selagi Tidak Ada Nas Yang Mengharamkan

Selain harga, Islam juga membiarkan masyarakat bebas melakukan kreativiti dalam apa jua bentuk stretegi pemasaran, selagi mana prinsip-prinsip utama seperti menjaga ketelusan dan mengelakkan manipulasi dijaga. Atas sebab itu, para sarjana daripada majoriti mazhab Islam, kecuali mazhab Zahiri dan sesetengah sarjana mazhab Hanafi, menganggap seorang Islam itu bebas meletakkan apa jua syarat dalam aktiviti pembelian, selagi mana syarat itu tidak melanggar prinsip Syariah yang utama. Jika syarat yang diletakkan itu mengandungi unsur riba contohnya, atau judi, atau penipuan, atau penyelewengan, baharulah dianggap syarat itu terbatal.

Selain daripada itu, status quo sesuatu amalan dalam aktviti pemasaran dan pasaran adalah kekas harus. Prinsip dalam muamalat Islam berbeza dengan dalam ibadah yang memerlukan dalil untuk melakukan, berbanding muamalat yang memerlukan dalil yang mengharamkan. Ertinya, selagi tidak ada dalil yang mengharamkan, sebarang aktiviti pemasaran atau pasaran adalah dibenarkan. Pun begitu, jika ada yang bercanggah dengan dalil, atau maqasid Syariah, maka ia tetap diharamkan oleh Islam.

Hal ini sebenarnya menggalakkan kreativiti dalam aktiviti pemasaran sesuatu barangan.

Amalam Masyarakat Menjadi Sumber Hukum

Oleh kerana Syariah membiarkan masyarakat melakukan aktiviti mereka dengan bebas selagi tidak melanggar batas yang telah ditetapkan, Syariah sebenarnya, menurut Imam al-Syatibi (meninggal 790H) mengiktiraf amalan masyarakat untuk menjadi sumber yang menilai hukum. Apa yang dipandang elok oleh masyarakat adalah elok, dan apa yang menyusahkan masyarakat, atau dipandang negatif oleh masyarakat, boleh diharamkan, terutama dalam hal-hal yang tidak wujud dalil al-Quran dan hadis yang jelas mengenainya. Dalam Syariah, sumber ini dikenali dengan nama 'al-'urf', atau bahasa mudahnya ialah 'common-sense' atau dijelaskan Ibn Abidin (meninggal 1254H) sebagai apa yang mendasari naluri manusia berasaskan pemikiran dan aktiviti rutin mereka dan diterima secara menyeluruh oleh masyarakat.

Walau bagaimanapun, semua sarjana bersetuju bahawa jika sudut pandangan masyarakat itu membatasi hukum Syariah, maka pandangan itu tidak lagi boleh diterima. Eksploitasi gender contohnya, memperguna wanita dalam pemasaran, walaupun digunakan secara meluas oleh sistem kapitalis, tetapi Islam secara tegas mengharamkannya.

Dengan kata lain, selagi boleh, Islam mahu mengurangkan campur tangan kerajaan dan membuka medan yang luas dalam kreativiti masyarakata dalam pasaran untuk menentukan hala tuju mereka. Islam tidak juga menetapkan sebarang bentuk keuntungan maksimum yang wajar diperoleh oleh seseorang, tetapi mengimbanginya dengan mekanisme zakat agar nikmat yang diperoleh hasil produktiviti sesuatu masyarakat dapat dikongsi bersama.


Kesimpulan

Begitulah caranya Islam mengawal pasaran. Islam, tidak seperti sistem komunis yang terlalu mengongkong, dan tidak juga seperti kapitalis yang terlalu membebaskan. Ini kerana, keterlaluan dalam melakukan sesuatu lebih memburukkan keadaan berbanding menjadikannya lebih baik. Keruntuhan sistem komunis, juga krisis ekonomi kapitalis 1998/2008 membuktikan sistem pasaran terbaik adalah berasaskan sistem Islam. Sistem pasaran terbaik akan terlaksana dengan wujudnya sistem pemasaran terbaik.

Islam membina satu bentuk pasaran yang telus, yang bebas manipulasi, kemudian membiarkan pasaran yang menentukan hala tuju dan aktiviti mereka, tetapi akan masuk campur apabila perlu. Itulah sistem canggih auto-pilot Islam.

Printer Friendly Page Send this Article to a Friend
Dialu-alukan komentar menggunakan akaun Facebook: