iDeologi.my
Facebook
School World
RSS Feeds

Login

Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

Sedang Online

7 user(s) are online (1 user(s) are browsing Artikel)

Members: 0
Guests: 7

more...
Article ID : 3
Audience : Default
Version 1.00.02
Published Date: 2012/5/7 20:43:35
Reads : 2708

Isu Umum dan Semasa

Oleh Ahmad Sufyan Che Abdullah
Utusan Malaysia, 24 Julai 2003

Otak manusia yang terkandung di dalamnya berbillion neoron itu adalah satu ciptaan yang sangat ajaib. Otak manusia, bukan seumpama bekas pada dunia dimensi ketiga; makin diisi makin penuh, tapi ia adalah ciptaan yang sangat luar biasa; makin diisi makin bertambah ruangnya! Otak dicipta sebegitu rupa, dengan dua hemisfera kanan dan kiri dengan peranan yang berbeza. Ia terletak di atas, tidak di tengah atau di bawah menunjukkan betapa pentingnya otak untuk dieksploitasi. Itulah otak yang berperanan sebagai akal untuk berfikir, menaakul, menganalisis, melakukan komparatif, dan menginterpretasi setiap maklumat yang diterima daripada pancaindera; mata yang melihat dan membaca, telinga yang mendengar, hidung yang mencium, mulut yang merasa, kulit yang menyentuh. Allah menciptakan manusia. Allah menganugerahkan akal dengan kebolehan dan fungsinya untuk berfikir dan memahami.

Mari kita lihat pesanan-pesanan Pencipta kita di dalam al-Quran tentang akal: Firman Allah: ``Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati (akal), semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.'' (Al-Isra: 36). Firman Allah lagi: ``Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang ada hati (akal) yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar?'' (Al-Hajj: 46)

Begitu sekali Allah mahukan kita menggunakan akal kita untuk memahami dan berfikir tentang ciptaan-Nya. Banyak lagi ayat lain yang menegaskan bahawa umat Islam perlu menjadi umat yang berfikir. Di dalam al-Quran, terdapat 49 perkataan `aqala yang bermaksud fikir, selain penggunaan-penggunaan perkataan ulul-albab dan ulul-nuha untuk para ahli fikir. Begitu sekali pentingnya budaya berfikir dan menganalisis.

Di zaman silam, Islam difahami dan diamalkan dalam konteks yang sebenar. Sebab itu ia melahirkan para pemikir yang hebat dalam pelbagai bidang. Lantas budaya ini dicedok oleh bangsa Eropah, lalu berlakulah perubahan di Eropah sehingga dikenali sebagai zaman Renaissance sekitar abad ke 14-16.

Hanya sejarah silam yang membolehkan kita berbangga dengan Islam. Islam yang mampu dibanggai cuma kenangan. Andainya kenangan itu menjadi pemangkin semangat, ia sudah cukup. Tapi malangnya memori gah Islam itu hanya menjadi kisah-kisah untuk dibanggakan. Kata pepatah Arab: Dia bukanlah sebenar-benar anak jantan, jika dia selalu berkata: Ini ayahku. Tapi dialah sebenar-benar anak jantan jika dia berkata; Hah, inilah aku! Maksudnya, tidak perlu berbangga dengan kejayaan orang lain yang telah berlalu, tapi carilah kejayaan hari ini untuk dibanggakan.

Pada zaman kegemilangan ilmu Islam, budaya berfikir menjadi teras peradaban umat Islam pada ketika itu. Maka lahirlah berpuluh-puluh ilmuwan Islam dalam pelbagai bidang, tidak kurang juga lahirnya manusia pelbagai bidang seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Taimiyyah, Imam al-Ghazali dan lain-lain.

Dalam bidang perundangan Islam, lahir manusia seperti Imam Malik, Imam al-Syafie, Imam Hanafi dan Imam Hanbali. Tidak kurang juga Ibnu Hazm al-Andalusi, Sufyan al-Thaury, al-Syawkani, Daud al-Zahiri dan lain-lain. Dalam bidang pengumpulan hadis (bukan sahaja di buku, tapi di minda), munculnya Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Nasaie, Imam Ibnu Majah, Imam al-Tirmizi dan ramai lain. Dalam bidang Tafsir pula nama-nama seperti Ibnu Kathir (pakar sejarah), al-Qurtubi, al-Nasafi, al-Maraghi dan pelbagai nama lagi. Dalam bidang sains pula lahir Abu Bakar al-Razi, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi dan lain-lain. Mereka ini bukan sahaja saintis, tapi mahir dalam hukum-hukum fiqah. Dalam bidang falsafah pula, muncul Ibn Arabi, Imam al-Ghazali, Ibnu Khaldun, al-Farabi dan lain-lain.

Sekadar sedikit imbasan, menunjukkan bahawa umat Islam sebenarnya mampu mewujudkan manusia-manusia seperti itu. Mereka itu telah menulis berpuluh-puluh buku bahkan ada antaranya yang mengarang beratus-ratus jilid buku. Bagaimana mereka menggunakan akal mereka? Itulah persoalan yang perlu kita selalu tanyakan kepada diri kita. Dan tidakkah boleh diwujudkan semula manusia-manusia seperti mereka pada zaman kita ini? Dan adakah kita sendiri, tidak mampu kalau pun tidak menjadi manusia pelbagai bidang seumpama Ibnu Khaldun, tidakkah boleh menjadi seorang pemikir yang mencatat nama dalam buku sejarah akan datang? Kalau dirasakan tidak mampu, boleh kita tanyakan, di manakah Islam kita?

Jelasnya sekarang, kita kekurangan budaya berfikir. Bahkan boleh dikatakan, budaya berfikir telah mati dalam kehidupan masyarakat, bahkan diri kita. Kita lebih senang menerima apa yang sudah difikirkan oleh orang lain, tanpa berusaha berfikir sendiri. Sememangnya berfikir itu sesuatu yang meletihkan. Tapi akal yang selalu berfikir inilah yang menyahut firman Allah supaya sentiasa berfikir. Firman-Nya: ``Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan; dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?'' (al-Mukminun: 80) Terlalu banyak anjuran supaya berfikir di dalam al-Quran. Malah kita boleh katakan salah satu ciri orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat adalah mereka yang rajin berfikir.

Saban tahun, beribu-ribu graduan universiti keluar dari universiti-universiti tempatan. Graduan universiti itu kita anggap sebagai mereka yang mempunyai ilmu. Tapi berapa ramaikah dari kalangan siswazah Melayu yang keluar dari universiti mampu mencipta nama sebagai pemikir dunia? Di Timur Tengah sana ada Dr. Yusuf al-Qardawi, ada Dr. Wahbah al-Zuhaily, ada Muhammad Nasiruddin al-Albani. Di barat sana ada Samuel Huntington, ada Francis Fukuyama, ada Peter Drucker, ada Bill Gates dan ramai lagi. Tapi di Malaysia? Mungkin seorang dua yang masyhur dengan pemikiran Islam contohnya seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Sebenarnya ilmu yang ada pada seseorang itu tidak akan berkembang jika dia tidak berfikir. Seorang graduan kelas pertama universiti tidak semestinya boleh menjadi seorang pemikir yang baik. Hal ini kerana mungkin ijazahnya adalah kerana ilmunya yang didapati daripada banyak membaca dan mengulangkaji, bukan kerana dia banyak berfikir dan mengkaji. Ilmu yang ada, data yang masuk ke minda setiap masa perlu disalurkan kepada proses berfikir atau kita namakan sebagai Proses Ilmu. Hanya dengan proses, ilmu yang ada akan membuahkan idea dan pemikiran yang baru.

Akal kita tidaklah akan menjadi telalu beku dan ilmu kita tidak akan statik. Tidak semua manusia mampu untuk melalukan Proses itu kerana kerjanya bukanlah semudah belajar dan menerima. Dengan sebab itulah jarang juga lahirnya penemuan baru yang lebih berkesan untuk masa kini dan masa depan. Kita ambil contoh dalam perundangan Islam, apabila seseorang itu mendapat banyak pengetahuan tentang hukum-hukum Islam, dia seharusnya melakukan proses terhadap ilmu itu dengan mengkaji, menilai kembali dan melakukan penyesuaian dengan situasinya. Inilah yang dinamakan Ijtihad. Hasilnya, wujudkan hukum-hukum Islam dan pandangan semesta Islam yang sesuai dengan realiti semasa. Barulah hukum Islam tidak dianggap beku.

Jika kita tidak melakukan proses fikir, ilmu yang kita keluarkan adalah sama dengan ilmu yang asal. Seandainya ilmu yang asal itu ditulis beratus tahun yang silam oleh sarjana mazhab perundangan Islam, adakah ia masih releven dengan situasi kini? Ini kerana, sarjana silam biasanya mengaitkan undang-undang Islam dengan realiti zaman mereka sebelum mengeluarkan hukum. Dan zaman sudah jauh berubah.

Anasir utama yang mematikan daya berfikir atau dinamakan juga daya intelektual ialah sifat MALAS. Rasulullah amat membenci sifat ini dan ia bukan sebahagian daripada Islam. Sifat malas adalah sifat ular sawa selepas membaham mangsa, dan bukan sifat manusia yang bertamadun pun! Sebab itu Rasulullah seringkali menganjurkan agar kita berdoa dengan doa: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kerisauan dan kesedihan, aku juga berlindung dengan-Mu daripada sifat lemah dan malas! Dalam apa jua bidang sekali pun, sifat malas tidak membawa kita ke mana-mana. Malas berfikir adalah sifat yang sangat mengaibkan dan tercela. Orang yang malas berfikir hanya meneri-ma apa yang dia dapat, dan menyampaikan ilmu yang diterima tanpa melakukan proses berfikir. Sebab itu orang ini tidak mampu menghasilkan ide-ide baru dan mereka akan selamanya jumud. Apabila ada golongan lain yang cuba melakukan pembaharuan, mereka mula menyalahkan golongan itu dengan tuduhan yang liar. Golongan yang cuba melakukan pembaharuan seringkali dituduh menyalahi prinsip silam, sedangkan orang yang menuduh itu tidak pernah pun menyelidiki secara serius tentang prinsip silam itu! Sudahlah malas berfikir, orang lain yang rajin berfikir pula dipersalahkan.

Unsur kedua ialah terlalu mengutamakan emosi daripada intelektual. Setiap hari, tajuk perbincangan adalah berkisarkan tentang tugas harian, perasaan diri, suka duka kehidupan, pengalaman dan seumpamanya. Tiada topik yang boleh dianggap menggunakan minda untuk dibualkan. Emosi mahu dilayan sepenuhnya, hiburan diutamakan sehingga berlaku pemujaan terhadap dunia artis. Bicara seharian kalau boleh semahunya sentiasa diserikan dengan lawak jenaka, tidak menyentuh isu berat yang memberatkan minda.

Kemajuan teknologi komunikasi hari ini kerana adanya pemikir-pemikir dan pengkaji-pengkaji dalam bidang itu. Akan tetapi bagaimana pula dengan bidang perundangan Islam, hukum Islam semasa, sistem kewangan Islam, sistem ekonomi dan politik Islam? Wujudkah mereka yang benar-benar serius berfikir untuk itu? Sememangnya bidang inilah yang kita nampak sangat kurang pemikirnya. Sebab itu pembaharuan dalam bidang ini sangat kurang. Setiap ilmu perlukan pembaharuan, bukankah Rasulullah sendiri mengakuinya dalam sebuah hadis yang sahih riwayat Hakim: Pada setiap seratus tahun, akan diutuskan kepada umatku Mujaddid, iaitu golongan yang berusaha memperbaharui urusan agama mereka. Ya, mujaddid ini dijanjikan Allah akan lahir pada setiap kurun. Bagaimana dengan kurun ini? Siapakah mujaddidnya? Golongan manakah? Sebenarnya, mujaddid tidak lahir sendiri, tanpa usaha daripada kita. Jika semua orang tidak berusaha untuk menjadi mujaddid, pasti tidak akan wujud mujaddid itu. Ya, kitalah yang perlu berusaha untuk menjadi seorang mujaddid, yang berusaha memperbaharui penampilan Islam dan ketrampilannya supaya sesuai dipraktikkan untuk zaman kini dan masa depan.

Printer Friendly Page Send this Article to a Friend
Dialu-alukan komentar menggunakan akaun Facebook: