iDeologi.my
Facebook
School World
RSS Feeds

Login

Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

Sedang Online

4 user(s) are online (3 user(s) are browsing Artikel)

Members: 0
Guests: 4

more...
Article ID : 53
Audience : Default
Version 1.00.01
Published Date: 2011/8/14 17:42:44
Reads : 6306

Kewangan dan Ekonomi

Pengumuman Menteri Kewangan setiap akhir tahun biasanya diberi perhatian yang cukup tinggi bukan sahaja pekerja kerajaan yang menunggun bonus tahunan, tapi semua pakar ekonomi, peniaga, peserta pasaran, juga syarikat korporat. Ini kerana belanjawan setiap tahun akan menentukan dasar ekonomi oleh kerajaan.


Dipetik daripada majalah GENERASI

Dalam istilah ekonomi, belanjawan negara yang terdiri daripada pembentangan sumber kewangan dan perlanjaan tahunan dikenali sebagai salah satu daripada instrumen polisi fiskal yang boleh menentukan hala tuju ekonomi sesebuah negara. Dengan kata lain, polisi fiskal ialah langkah-langkah yang diambil oleh sesebuah kerajaan dalam menentukan ke arah mana, dan sebanyak mana wang yang dibelanjakan, juga pada masa yang sama menentukan daripada mana sumber wang yang ingin diperoleh. Polisi fiskal termasuklah sistem percukaian, subsidi, insentif, perbelanjaan wajib dan seumpamanya.

Dalam sistem ekonomi kapitalis, pada asalnya polisi fiskal kerajaan dianggap sebagai ‘gangguan’ atau campur tangan kerajaan dalam pasaran yang tidak begitu diingini oleh para kapitalis. Oleh sebab itu, kerajaan berfahaman kapitalis seperti US cuba sedaya upaya mengurangkan campur tangan kerajaan dalam ekonomi sesebuah negara. Namun hakikatnya, terutama selepas berlakunya krisis ekonomi, para kapitalis terpaksa akur bahawa mereka memerlukan juga peranan kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi.

Hakikatnya, setiap sen yang dibelanjakan oleh kerajaan akan menentukan pendapatan negara pada masa akan datang juga menentukan tahap perkembangan ekonomi negara. Atas sebab itu kerajaan terpaksa berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap ke arah mana wang yang perlu mereka belanjakan.

FUNGSI UTAMA

Polisi fiskal sangat penting untuk memastikan perbelanjaan negara dapat disalurkan bukan sahaja kepada saluran yang tepat, bahkan pada masa yang sesuai. Ini sangat penting kerana polisi fiskal akan menjamin berlakunya keseimbangan dalam perbelanjaan kerajaan.

Seimbang bermaksud, wujudnya perbelanjaan yang sama dengan pendapatan. Lebihan dalam belanjawan tahunan menunjukkan ada yang tidak kena dalam proses penganggihan kekayaan, manakala defisit dalam perbelanjaan juga menunjukkan kelemahan dalam pengurusan. Di sinilah pentingnya polisi fiskal yang baik untuk memastikan perbelanjaan yang berhemah oleh sesebuah kerajaan.

Keseimbangan dalam belanjawan jangka pendek pula akan menentukan corak ekonomi sesebuah negara untuk jangka panjang. Sebagai contoh, kerajaan memberikan subsidi kepada rakyat dengan memotong harga beras, petrol dan beberapa barangan asasi, akan secara tidak langsung menambah pendaptan rakyat. Lebihan pendapatan ini akan dibelanjakan kepada sektor lain dan sektor ini akan menjana pendapatan. Hasilnya, berlaku pertumbuhan ekonomi jangka panjang dalam masyarakat. Dengan kata lain, berlakunya peningkatan dalam pendapatan negara (Gross Domestic Product) kerana bertumbuhnya sektor-sektor industri dalam masyarakat terutama untuk jangka masa panjang.

Bukan semua kerajaan mampu memberikan subsidi untuk semua barangan. Penentuan subsidi bergantung kepada kedudukan kewangan sesebuah kerajaan, dan juga bergantung kepada sejauh mana pemberian subsidi itu memberi kesan yang baik kepada ekonomi sesebuah negara.

Kerajaan yang sudah mencapai kedudukan ekonomi yang baik akan terus memberikan subsidi kepada rakyat terutama dalam sektor yang boleh menjana masa hadapan sesebuah negara seperti biasiswa, peruntukan penyelidikan dan kajian, makanan percuma untuk orang miskin dan seumpamanya.

INSTRUMEN FISKAL

Belanjawan tahunan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, contohnya adalah salah satu cara penting dalam menentukan polisi fiskal sesebuah negara, selain dasar-dasar oleh Bank Negara Malaysia dan badan-badan lain yang berkaitan. Dalam belanjawan tahunan, akan ditentukan berapa wang dibelanjakan, daripada mana sumber wang kerajaan, sektor mana yang dikenakan cukai yang tinggi, sektor mana cukai dikurangkan, dan seumpamanya.

Inilah yang dinamakan sebagai instrumen utama dalam penentuan polisi fiskal sesebuah negara.

Jika kerajaan ingin menggalakkan sesuatu bidang berkembang dengan pesat, kerajaan akan mengurangkan cukai atau memberi pelepasan cukai kepada sektor terbabit. Contohnya bidang perkomputeran atau teknologi internet dan komunikasi.. Di Malaysia dan di kebanyakan negara membangun, kerajaan biasanya menghapuskan terus, atau memberi pelepasan cukai tahunan kepada sektor internet, perkomputeran kerana ini akan menyebabkan kos barangan komputer menjadi murah dan seterusnya menggalakkan rakyat menggunakan komputer dan internet.

Bagi sesetengah negara, mereka cuba mengurangkan cukai kepada produk elektronk seperti telefon bimbit, tetapi mengenakan cukai yang tinggi kepada caj telekomunikasi. sepert panggilan dan SMS. Di Malaysia, cukai perkhidmatan telkomunikasi ialah pada kadar 6%. Di Jordan pula, cukai untuk telekomunikasi telefon mudah alih adalah dianggap yang tertinggi di dunia kerana mengenakan 25% cukai terhadap bil dan juga kad tambah nilai.

Ini tidak menghairankan kerana Jordan tidak banyak punyai sumber negara, kecuali bergantung kepada sektor pelancongan dan sedikit eksport minyak zaitun.

Kerajaan juga mungkin mengenakan cukai yang tinggi kepada barangan yang dianggap memberi kemudaratan kepada masyarakat seperti cukai terhadap arak dan rokok, atau pun barangan mewah. Bagi barangan mewah, pada anggapan kerajaan, barangan mewah hanya dibeli oleh orang kaya dan cukai terhadap orang yang berduit adalah penting untuk kerjaan menggunakan duit itu untuk membantu golongan yang miskin dan majoriti masyarakat. Cukai yang dikenakan terhadap barangan ini dianggap sebagai cukai yang tidak langsung, yang akan terkena kepada semua mereka yang membeli.

Di negara-negara maju, cukai adalah sumber terpenting bagi menentukan pendapatan sesebuah negara. Sebab itu wang kerajaan lebih dikenali sebagai wang pembayar cukai, dengan kata lain, wang rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan.

Cukai adalah hasil negara yang diperoleh daripada kerancankan produktiviti ekonomi masyarakat. Cukai ini akan seterusnya diagihkan semua kepada masyarakat yang lebih memerlukan, untuk merancakkan semula ekonomi masyarakat, itulah pusingan roda ekonomi sesebuah negara.

SEKTOR EKONOMI

Tidak semua sektor dalam masyarakat menghasilkan produktiviti secara langsung. Terdapat sektor dalam masyarakat yang dianggap tidak produktif untuk jangka masa pendek, tetapi penting untuk pertumbuhan negara jangka masa panjang. Contohnya seperti sektor pendidikan, kesihatan, pertanian, dan juga sektor pertahanan.

Perbelanjaan dalam pendidikan tidak menghasilkan keuntungan dalam jangka masa pendek, tetapi untuk jangka masa panjang, sudah tentu negara akan mendapat keuntungan melalui modal insan yang berkemahiran tinggi yang membantu memajukan masyarakat. Begitu juga sektor pertahanan, sektor ini juga tidak memberi keuntungan kepada negara, tetapi tanpa perbelanjaan yang cukup untuk ketenteraan dan pertahanan, tidak mungkin sesebuah negara dianggap aman. Keamanan pula sangat penting untuk kegiatan ekonomi. Peningkatan kadar jenayah, ketidakstabilan pentadbiran dan politik akan memberikan kesan buruk kepada aktiviti masyarakat.

Sektor ini memerlukan perbelanjaan oleh kerajaan, tetapi hasilnya boleh dilihat untuk jangka masa panjang, manakala sektor lain yang produktif seperti sektor perkilangan dan perniagaan. Hasilnya boleh dilihat dalam tempoh setahun hingga tiga tahun. Contohnya pengurangan cukai terhadap Internet boleh dilihat hasilnya melalui peningkatan hasil pendapatan syarikat berasaskan IT seterusnya meninggikan pendapatan kerajaan melalui cukai-cukai syarikat terhadap tersebut.

EKONOMI SEIMBANG

Polisi fiskal yang baik akan menghasilkan sistem ekonomi yang seimbang, yang menjadi matlamat utama dalam mana-mana sistem ekonomi. Seimbang dengan erti penawaran dan permintaan berada pada paras yang stabil, harga yang sesuai untuk semua dan juga pengagihan kekayaan yang adil.

Hakikatnya bukan suatu yang mudah kerana kerajaan akan sentiasa berada dalam dilema. Peningkatan dalam subsidi atau pengurangan cukai, akan mengurangkan kemampuan negara untuk menguruskan infrastuktur. Meningkatkan cukai akan menaikan kos dan akhirnya menjejaskan kehidupan rakyat.

Sekiranya kerajaan melihat berlaku deflasi atau penguncupan ekonomi, kerajaan akan cuba meningkatkan perbelanjaan rakyat melalui pengurangan cukai dan meningkatkan subsidi. Tetapi jika kerajaan mendapati inflasi meningkat, kerajaan mencari jalan untuk menaikan cukai ataupun mengurangkan subsidi.

Sebab itulah anda kerap melihat kerajaan melancarkan ‘Mega Sale’ terutama selepas berlaku kegawatan ekonomi. Menggalakkan rakyat berbelanja agar berlaku peningkatan aktiviti ekonomi masyarakat di samping memberi insentif cukai kepada peniaga agar peniaga menurunkan harga barangan.

Pada waktu yang lain, kerajaan melancarkan kempen berjimat cermat pula, untuk memastikan tidak berlaku inflasi dalam masyarakat. Peningkatan terhadap permintaan barangan yang tidak disertai dengan peningkatan penawaran akhirnya boleh meningkatkan inflasi.

Dalam sejarah Islam, polisi fiskal yang baik telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dan direalisasikan oleh para sahabat dalam pemerintahan mereka.

Dakwaan sesetengah penulis tentang dasar kronisme dan nepotisme dalam sistem pemerintahan Khalifah Uthman RA dan Muawiyyah RA adalah terpesong daripada fakta sejarah yang dipersetujui oleh sarjana hadis. Bahkan di zaman mereka berdualah, terutama Muawiyah, kerajaan Islam sangat kuat dari sudut pembangunan ekonomi dan intelektualnya.

Dalam surah Yusuf ayat yang ke 3, Allah SWT menjelaskan:

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.”

Lalu Allah menceritakan kisah rasul-Nya, Yusuf a.s, agar menjad pedoman kepada kita semua. Rasulullah Yusuf a.s. ketika mentafsirkan mimpi raja menjelaskan:
“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai itu biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” [Yusuf: 47-48]

Inilah yang dikatakan sistem ekonomi yang stabil, yang mampu menguruskan kekayaan negara bukan sekadar untuk jangka masa pendek, tetapi juga untuk generasi akan datang.

Polisi fiskal hari ini bukan sekadar memberi kesan kepada yang masih hidup, tetapi juga untuk generasi yang mungkin belum lagi lahir ke dunia.

Printer Friendly Page Send this Article to a Friend
Dialu-alukan komentar menggunakan akaun Facebook: