iDeologi.my
Facebook
School World
RSS Feeds

Login

Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

Sedang Online

8 user(s) are online (3 user(s) are browsing Artikel)

Members: 0
Guests: 8

more...
Article ID : 54
Audience : Default
Version 1.00.01
Published Date: 2011/11/3 12:00:00
Reads : 3048

Kewangan dan Ekonomi

Sejak krisis kewangan US melanda pada 2008, ekonomi dunia masih di tahap yang sama. Kini negara yang banyak mempertahankan Israel itu ibarat telur di hujung tanduk. Krisis hutang kini menjalar ke Eropah pula. Krisis ekonomi pernah berlaku pada tahun 1998 terutama kepada Asia Tenggara yang hampir melingkupkan Malaysia, Thailand, FIlipina dan Indosesia. Indonesia, Filipina dan Thailand terpasak menerima ‘bantuan’ pemulihan IMF, manakala Malaysia berjaya melepasi halangan sendiri melalui kawalan modal (cerita lanjut tentang ini mungkin dalam edisi seterusnya) Selepas itu berulang lagi pada 2008.

Ada teori mengatakan krisis berulang setiap 10 tahun, tetapi data tidak menunjukkan sebegitu, walaupun hampir begitu. Dengan kata lain, krisis ekonomi sentiasa berulang.

“Business Cycle”


Inilah yang dinamakan sebagai “Business Cycle” atau Kitaran Perniagaan, atau Kitaran Ekonomi. Berasaskan teori ini, sistem ekonomi dianggap mempunyai kitarannya yang tersendiri, bermula dengan perkembangan pesat yang mana penawaran barangan mula rancak walaupun permintaan agak kurang berbanding penawaran. Harga barangan murah dan boleh dibeli. Bank-bank rancak memberikan pinjaman, kilang-kilang didirikan.

Open in new window


Kemudian tiba kemuncaknya dengan penawaran barangan dan permintaan hampir seimbang. Masalah pengangguran pada tahap mininum. Harga barangan stabil, persaingan di pasaran pun sihat.

Lama-kelamaan, persaingan mula agak kotor. Pasaran mula menuju monopoli. Harga barangan mula meningkat, inflasi berlaku. Rakyat mula terbeban dengan peningkatan harga barangan. Hutang-hutang pinjaman bank mula susah untuk dibayar. Bank semakin lemah akibat meningkatan hutang. Wang semakin dicetak walaupun tiada asas. Kemelesetan mula berlaku.

Harga barangan yang tinggi menjadikan wang kurang nilainya. Lambakan barangan menjadikan kilang-kilang ditutup. Ada yang dibuang kerja. Ada syarikat gulung tikar. Barangan mula kurang di pasaran. Wang yang sudah kurang nilainya, ditambah stok barangan yang terhad di pasaran. Ekonomi semakin malap.

Kerajaan terpaksa campur tangan untuk melakukan sesuatu. Subsudi ditingkatkan untuk barangan tertentu. Cukai dikurangkan sementara untuk mengurangkan kos pengeluaran. Kilang mula didirikan semula. Setelah itu kembali pulih dan kembali berkembang pesat... dan begitulah seterusnya ia berpusing.

Situasi ‘Business Cycle’ ini bukan dibuat berasaskan anggapan, tetapi berasaskan fakta sejarah dan angka. Cuma faktor perkembangan dan kejatuhan mungkin berbeza.

Hakikat ini sebenarnya telah dijelaskan di dalam al-Quran di dalam surah Yusuf:

“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai itu biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” [Yusuf: 47-48]

“Kemarau” dan “Menananam Bersungguh-sungguh” ini beleh ditafsirkan mengikut situasi sosio-ekonomi sesuatu masyarakat. Dalam masyarakat industri moden, “Kemarau” adalah kemelesetan, manakala “menanam bersungguh-sungguh” itu waktu perkembangan (expension).

Fitrah Ketentuan


Dengan kata lain, krisis ekonomi hakikatnya adalah fitrah semulajadi yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada manusia setiap zaman. Ini kerana Allah yang menentukan pasaran, bukan manusia, dan bukan “invisible hand” seperti yang difahami oleh Adam Smith.

Pada zaman Rasulullah SAW, Anas RA menceritakan, masyarakat ada mengadu kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, harga barangan telah naik (inflasi), tolonglah tetapkan harga barangan untuk kami. Rasulullah SAW menjawab, sesungguhnya Allah Yang Maha Menentuka Harga, Yang Maha Menyempitkan dan Memudahkan Rezeki, Yang Maha Memberi Rezeki. Sesungguhnya aku amat mengharapkan Allah sahaja yang menentukannya. Bahkan tidak seorang pun daripada kamu yang boleh memintaku untuk melakukan kezaliman sama ada terhadap darah (fizikal) mahu pun harta orang lain.


Hadis ini dijadikan sandarakan oleh para sarjana tentang tidak boleh untuk kerajaan menetapkan harga sesuka hati, kecuali jika melibatkan maslahah, contohnya mengatasi krisis yang buruk, atau monopoli yang melampau.

Namun apa yang penting dalam hadis ini ialah, krisis ekonomi sama ada inflasi atau inflasi adalah fitrah yang telah ditentukan oleh Allah.

Mentafsir Krisis


Business Cycle adalah fitrah yang tidak dapat dielakkan tetapi ia mungkin dapat dikurangkan risikonya, seperti nasihat Yusuf kepada kerajaannya yang dikisahkan oleh al-Quran, untuk melakukan persediaan, atau mengelakkan krisis yang berat akibat melanggar pantang larang ekonomi seperti yang ditunjukan oleh Islam.

Untuk menguruskan krisis, pelbagai teori dikemukakan oleh sarjana ekonomi untuk membuat pentafsiran terhadap punca dan simptom krisis.

Ada sarjana seperti Hawtrey yang mengganggap krisis berlaku kerana kepincangan dalam urusan penawaran wang oleh bank, akibat penciptaan wang ‘kredit’., manakala Wicksell menganggap krisis wang berpunca daripada perubahan kadar faedah yang akhirnya menyebab inflasi.

Ada juga ahli ekonomi menanggap kitaran ekonomi berlaku kerana sikap pengguna. Milton Friedmen berpendapat, kuasa beli yang semakin tinggi menyebabkan berlakunya peningkatan ekonomi, dan kuasa beli juga menyebabkan jatuhnya ekonomi.

Namun bagi J.A. Hobson, sikap melampau dalam menyimpang wang yang menyebabkan ekonomi berpusing naik dan jatuh. Menyimpan wang menyebabkan ekonomi akan menjadi beku kerana pelaburan untuk bidang produktif tidak berkembang.

Namun bagi ahli ekonomi neo-klasik seperti Keynes, kadar faedah yang menjadikan putaran ekonomi naik dan ia juga menjatuhkan ekonomi. Baginya, kadar faedah yang tidak stabil, tidak membantu ekonomi, bahkan kadar faedah sebenarnya yang meninggikan kos.

Teori Ekonomi Islam


Semua pandangan sarjana barat berkenaan kitaran ekonomi dan punca krisis tadi tidak lari daripada apa yang telah digariskan oleh Islam.

Sekali imbas, Islam tidak lebih daripada hukum fekah yang mengharamkan riba, mengharamkan iktinaz (simpanan yang tidak dikeluarkan zakat), mewajibkan zakat, dan menggalakkan sedekah, mengharamkan barangan berbahaya dan mengharamkan pembaziran dan berbelanja melebih keperluan. Namun, jika diteliti, itulah hikmah setiap hukum yang dianggap cuma ‘fekah’ oleh sesetengah ahli ekonomi barat.

Islam mengharamkan pembaziran dan menggalakkan umatnya berbelanja mengikut keutamaan. Yang asasi didahulukan, yang kurang perlu pula dielakkan. Dari sudut pandangan marginalist, perbelanjaan terhadap barangan bersifat keperluan (daruriyat & hajiyat) mempunyai kadar multiplier yang tinggi berbanding perbelanjaan bersifat bermewah-mewah. Ini kerana kadar marginal utility bagi barangan tersebut adalah lebih tinggi berbanding barangan mewah. Perbelanjaan yang sedikit dalam barangan asas memberi impak yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negara berbanding perbelanjaan besar dalam barangan mewah yang hanya memberi kesan yang sedikit kepada pertumbuhan ekonomi. Atas sebab itu, bagi yang ada lebihan wang, perlu disimpan untuk masa hadapan, juga disedekahkan kepada mereka yang memerlukan perbelanjaan yang asasi.

Jika sikap ini diamalkan, kemelesetan ekonomi yang berpunca daripada sikap melampau dalam menggunakan kuasa beli dan sikap melampau dalam menyimpan dapat dikurangkan kesannya Walaupun Islam menggalakkan menyimpan wang, tetapi Islam lebih menggalakkan wang itu dilaburkan. Sebab itu, wang yang banyak (dinilai dengan kadar 85gm emas), yang tersimpan lebih daripada setahun (tahun Hijrah), perlu dikeluarkan zakat. Zakat akan disalurkan kepada fakir dan miskin, mereka ini menggunakan wang untuk membeli dan ini menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Islam juga jelas, mengharamkan riba dan kadar faedah. Jika setiap pembiayaan kewangan lebih mementingkan “marginal efficiency” berbanding “kadar faedah” seperti yang dicadangkan Keynes, krisis ekonomi dapat juga elakkan atau dikurangkan risikonya. “Marginal Eficiency” secara mudahnya adalah seseorang itu lebih melihat kepada untung rugi sebagai asas pelaburan, dan bukan melihat kepada hanya ‘untung’ seperti pinjaman yang berasaskan kadar faedah.

Dan kita tahu, prinsip Islam lebih menggalakkan pelaburan berasaskan untung rugi, seperti dalam kontrak al-Musyarakah (kongsi modal, untung dan rugi) juga al-Mudarabah (kongsi modal dan usaha, untung dan rugi).

Kesimpulan



Walaupun pada dasarnya kitaran ekonomi sama ada kepesatan perkembangan dan krisis ekonomi itu satu fitrah alam yang ditetapkan Tuhan, namun Islam telah menyediakan caranya untuk mengelakkan daripada kesannya yang besar, sama seperti kisah dalam surah Yusuf itu.

Pengharaman riba, kewajipan berzakat dan galakan bersedekah, kewajipan mengelakkan pembaziran dan berbelanja mengikut keperluan, semua itu akan mengurangkan kesan krisis yang berlaku.

Krisis secara fitrahnya berlaku kerana realitinya di dunia ini tidak semua manusia beriman kepada Allah. Kalaupun beriman, tidak semua mukmin itu taat pada perintah Allah.

Islam mengemukakan langkah mengurangkan kesan krisis tetapi sayangnya sikap yang dianjurkan oleh Islam tidak diamalkan pun oleh umat Islam. Mereka lebih melihat kepada ‘keseronokan peribadi’ hari ini tetapi melupakan kesengsaraan yang bakal ditempuhi oleh anak cucu mereka akan datang di dunia, bahkan kesengsaraan mereka sendiri di alam selepas dunia.

[Artikel ini boleh dibaca dengan lebih ceria dalam majalah GENERASI Edisi Beta, Januari 2012]

Printer Friendly Page Send this Article to a Friend
Dialu-alukan komentar menggunakan akaun Facebook: