iDeologi.my
Facebook
School World
RSS Feeds

Login

Username:

Password:

Remember me



Lost Password?

Register now!

Sedang Online

7 user(s) are online (2 user(s) are browsing Artikel)

Members: 0
Guests: 7

more...
Article ID : 56
Audience : Default
Version 1.00
Published Date: 2012/5/6 19:13:02
Reads : 1871

Sunnah dan Sirah

Oleh Ahmad Sufyan Che Abdullah
Utusan Malaysia 16/04/2004

Pernah timbul kekeliruan tentang kontroversi penggunaan hadis Ahad sebagai sumber hukum, terutama hukum akidah serta polemik tentang penolakan terhadap hadis jenis ini. Dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sememangnya kita kurang menerima dalil yang tidak mencapai tahap pengetahuan yang meyakinkan (qat`ie) dalam menetapkan sesuatu pegangan. Benarkah hadis Ahad kesemuanya tidak bersifat qat`ie? Untuk menjawab persoalan ini, hadis hendaklah difahami betul-betul. Andainya hadis Ahad terus dianggap zanni, maka akan muncul ramai orang yang cuba mempermainkan hukum dengan alasan perkara zanni boleh menerima khilaf dan kritikan.



Hadis atau sunah ialah apa sahaja yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. sama ada berupa perkataan, perbuatan mahupun pengiktirafan (taqrir) baginda.

Hadis tidak sama kedudukannya dengan al-Quran dan sering menerima kritikan kerana cara pemindahan dan tersebarnya hadis tidak sama seperti al-Quran.

Pada zaman Rasulullah s.a.w (wafat 632 Masihi), baginda pernah melarang para sahabat daripada menulis hadis kerana dikhuatiri akan bercampur aduk dengan al-Quran. Lantas pada zaman Abu Bakar r.a. (meninggal 634 Masihi), al-Quran dibukukan tetapi perkara ini masih tidak berlaku pada hadis.

Pun begitu, menurut Dr. Mustafa Azami, hadis tetap ditulis oleh sebilangan sahabat dalam beberapa naskhah yang tidak tersusun.

Di dalam perundangan Islam, al-Quran diletakkan sebagai sumber yang pertama, dan hadis pada kedudukan kedua selepas al-Quran. Ini kerana

terdapat sedikit perbezaan dalam

aspek kredibiliti antara kedua-dua sumber itu.

Faktor utamanya ialah al-Quran tersebar secara mutawatir, iaitu disebarkan oleh Rasulullah kepada sebilangan besar sahabat, lantas tersebar pula semakin banyak sehingga tiada kemungkinan untuk berlaku persepakatan untuk berdusta. Ini menjadikan al-Quran dianggap dapat memberi ilmu yang meyakinkan (ilmu qat`ie).

Tidak seperti al-Quran, hadis tersebar dalam dua bentuk, pertama dalam bentuk mutawatir seperti al-Quran. Kedua, dalam bentuk Ahad.

Bentuk Ahad ialah hadis yang tersebar daripada Rasulullah kepada sebilangan kecil sahabat, yang tidak lebih daripada dua orang, lalu tersebar kepada sebilangan kecil perawi hadis.

Menurut Dr. Subhi Saleh, majoriti hadis Rasulullah tersebar dalam bentuk Ahad dan ini menjadikan autoriti hadis lebih rendah berbanding al-Quran kerana terdapat kemungkinan berlaku ralat, kesilapan atau pendustaan dalam proses pemindahan hadis.

Oleh itu, hanya hadis yang berpindah dengan cara mutawatir dianggap ilmu yang meyakinkan (qat`ie).

Manakala hadis Ahad dianggap tidak begitu meyakinkan (zanni), serta boleh menerima kritikan.

Dalam pengajian hadis, kedudukan hadis Ahad mesti dipastikan dahulu kesahihannya kerana dikhuatiri terdapat pendustaan terhadap Rasulullah.

Dalam sejarah para sahabat, mereka amat berhati-hati apabila menerima hadis yang bersumberkan seorang.

Atas sebab itulah Abu Bakar r.a., ketika menerima hadis tentang pusaka nenek daripada Mughirah, tidak terus membuat keputusan kecuali setelah menerima akuan daripada seorang sahabat lain, Muhammad bin Maslamah bahawa beliau turut mengetahuinya.

Hal yang sama juga dilakukan oleh Umar bin Khattab r.a. (meninggal 644 Masihi) dan Ali bin Abi Talib r.a. (meninggal 661 Masihi) ketika menerima hadis yang dipindahkan dalam bentuk Ahad.

Berasaskan sikap ini jugalah para tabi`in dan para sarjana hadis begitu berhati-hati ketika melakukan usaha pemindahan dan penulisan hadis.

Para ulama juga telah mendisiplinkan beberapa metodologi yang khusus untuk memastikan proses mencari ketulenan sesebuah hadis berjalan berasaskan kaedah saintifik, di antaranya adalah seperti ilmu Terminologi Hadis, Takhrij, Rijal al-Hadis dan kaedah penerimaan dan penyampaian hadis.

Hadis-hadis juga telah dikumpul, disaring dan diklasifikasikan berasaskan syarat-syarat yang khusus oleh pengumpul-pengumpul hadis seperti Imam Bukhari (meninggal 870 Masihi), Imam Muslim (meninggal 875 Masihi), Imam Tirmizi (meninggal 892 Masihi) dan lain-lain.

Daripada proses inilah lahirnya hadis dalam kualiti yang berbeza seperti Hadis Sahih, Hasan, Daif dan Mauduk.

Seperti yang telah dijelaskan, umumnya hadis Ahad tidak dapat memberikan ilmu yang meyakinkan (qat`ie) tetapi bersifat spekulatif (zanni).

Ini kerana sandaran perawi adalah sedikit dan berkemungkinan untuk berlakunya kesilapan atau pembohongan.

Atas sebab ini jugalah, golongan yang terlalu mengagumi akal mereka sering kali menolak hukum yang dibawa oleh hadis Ahad, dengan alasan ia tidak qat`ie dan boleh menerima ijtihad yang pelbagai.

Kita mengakui, secara umumnya, hadis Ahad ini tidak bersifat qat`ie seperti yang dipersetujui oleh Imam Syafie (meninggal 820 Masihi), Abu Hanifah (meninggal 767 Masihi), Imam Malik (meninggal 795 Masihi) dan al-Ghazali (Meninggal 1111 Masihi).

Mereka ini berpendapat bahawa hadis yang bersifat zanni ini boleh digunakan untuk beramal, tetapi tidak melibatkan perkara-perkara akidah.

Walau bagaimanapun, dalam kajian yang lebih mendalam daripada para ulama yang kebanyakannya ahli hadis mengatakan, mana-mana hadis Ahad yang sahih, boleh memberikan pengetahuan yang pasti (qat`ie). Pendapat ini diutarakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 855 Masihi), Daud az-Zahiri (meninggal 883 Masihi) dan Ibn Hazm al-Andalusi (Masihi 1062 Masihi).

Sebenarnya, pendapat pertama yang mengatakan hadis Ahad adalah bersifat zanni itu adalah bersifat terlalu umum berbanding dengan pandangan kedua, dilihat lebih terperinci dan logik. Hal ini demikian kerana hadis Ahad mempunyai gred yang berbeza-beza.

Justeru, mana-mana hadis yang telah disahkan sumbernya (sahih) datang daripada Rasulullah, perlu dianggap sebagai qat`ie, setaraf dengan hadis mutawatir dan al-Qur-an.

Implikasinya, hadis sahih juga boleh mensabitkan berita-berita tentang akidah serta hukum-hukum yang besar. Pendapat ini sebenarnya telah disokong kuat oleh sarjana hadis moden seperti Muhamamad Nasiruddin al-Abani (meninggal 1998 Masihi) dan Ahmad Muhammad Syakir (meninggal 1958 Masihi).

Kedua-duanya berpendapat hadis Ahad yang sahih adalah bersifat qat`ie secara mutlak. Ibn Solah (meninggal 1245 Masihi) dan Ibn Hajar al-Asqalani (meninggal 1449 Masihi) pula mengatakan bahawa hadis Ahad memerlukan sedikit petanda (qarinah) lagi untuk membolehkannya memberi pengetahuan meyakinkan.

Pendapat ini dilihat lebih konkrit oleh sarjana barat, Prof. Wael B. Hallaq. Di antara petanda yang dimaksudkan ialah seperti persepakatan oleh Bukhari dan Muslim dan seumpamanya.

Ulama moden seperti Dr. Yusuf al-Qardhawi juga berpendapat sedemikian dan mengatakan hadis Ahad yang mempunyai qarinah ini boleh mensabitkan perkara-perkara akidah.

Sudah sampai masanya anggapan terhadap hadis Ahad dinilai semula sesuai dengan perkembangan ilmu semasa. Kajian ulama moden telah membuktikan bahawa mana-mana hadis Ahad yang sahih serta mempunyai petanda-petanda tertentu (ihtaffa bil qara'in) boleh memberikan pengetahuan yang meyakinkan.

Justeru, tidak semua hukum yang dibawa oleh hadis Ahad boleh ditolak sewenang-wenangnya. Dan kita juga tidak wajar mengatakan penolakan terhadap hadis Ahad, tidak membawa kepada kerosakan akidah hanya kerana sifat umumnya yang zanni.

Hadis-hadis yang disepakati sahih, sekalipun daripada bentuk Ahad sebenarnya telah melalui peringkat saringan berasaskan kaedah yang sangat konkrit.

Ilmu sanad telah dibuktikan oleh Dr. Mustafa Azami sebagai kaedah saintifik yang sangat konkrit untuk menilai sesebuah hadis. Kaedah ini juga diiktiraf oleh majoriti orientalis yang terbuka masa kini.

Kredibiliti hadis Ahad seharusnya dinilai semula, agar berasaskan grednya yang telah ditetapkan.

Penilaian semula ini adalah amat penting agar tidak lahir nanti penolakan yang melampau terhadap hadis Ahad oleh musuh Islam, atau oleh Muslim yang gagal memahami sunah dengan baik.

Dalam Islam, kebanyakan hukum adalah bersandarkan kepada hadis Ahad termasuklah hukum ibadah, aurat, kekeluargaan dan juga hukum-hukum akidah seperti berita alam ghaib, azab kubur, Hari Kiamat dan seumpamanya.


Dalam sains, perkembangan teknologi boleh mengubah fakta kerana pengetahuan manusia semakin meningkat.

Kalau dahulu manusia percaya bahawa matahari mengelilingi bumi, tetapi kajian saintifik oleh Nicholas Copernicus telah mendedahkan bahawa bumi sebenarnya yang mengelilingi matahari.

Begitulah juga boleh berlaku dalam sains hadis. Perkembangan masa dan ilmu menjadikan metodologi penilaian hadis semakin sofistikated dan tersusun.

Oleh itu, tidak peliklah andainya hadis Ahad yang selama ini dianggap zanni keseluruhannya boleh dianggap qat`ie setelah disahkan sahih melalui proses saringan yang terperinci.

Janganlah kerana nyamuk, kelambu dibakar. Semoga sunah Rasulullah terus terpelihara sehingga akhir zaman.

(C) Utusan Malaysia 16/04/2004

Printer Friendly Page Send this Article to a Friend
Dialu-alukan komentar menggunakan akaun Facebook: